Cara Sistem Cadangan Netflix Berfungsi

Perniagaan kami merupakan model perkhidmatan langganan yang menawarkan cadangan diperibadikan untuk membantu anda mencari rancangan, filem dan permainan yang mungkin anda suka. Untuk berbuat demikian, kami telah mencipta sistem cadangan yang inovatif. Artikel ini menyediakan perihalan tahap tinggi tentang sistem cadangan kami dengan bahasa yang mudah.

Asasnya

Apabila anda mengakses perkhidmatan Netflix, sistem cadangan kami berusaha untuk membantu anda mencari rancangan, filem atau permainan untuk dinikmati secara mudah. Kami menganggarkan kemungkinan anda akan menikmati tajuk tertentu dalam katalog kami berdasarkan beberapa faktor, termasuklah:

  • interaksi anda dengan perkhidmatan kami (seperti sejarah tontonan anda dan cara anda menilai tajuk lain),

  • ahli lain dengan cita rasa dan pilihan yang serupa pada perkhidmatan kami dan

  • maklumat tentang tajuk, seperti genre, kategori, pelakon, tahun keluaran, dll.

Selain mengetahui rancangan yang anda tonton di Netflix untuk memeribadikan cadangan sebaik mungkin, kami juga mempertimbangkan beberapa faktor termasuklah:

  • waktu anda menonton Netflix dalam sehari,

  • bahasa pilihan anda

  • peranti yang anda gunakan untuk menonton Netflix dan

  • tempoh masa anda menonton sesebuah tajuk Netflix.

Semua isyarat ini digunakan sebagai sebahagian daripada input yang kami proses dalam algoritma kami. (Algoritma ialah proses atau set peraturan yang dipatuhi dalam operasi penyelesaian masalah.) Sistem cadangan tidak termasuk maklumat demografi (seperti umur atau jantina) sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan.

Jika anda tidak melihat sesuatu untuk ditonton, anda boleh mencari dalam seluruh katalog yang tersedia untuk anda. Kami cuba menjadikan carian semudah dan sepantas yang mungkin. Apabila anda memasukkan pertanyaan carian, hasil teratas yang kami sediakan adalah berdasarkan beberapa faktor termasuk tindakan ahli lain yang telah memasukkan pertanyaan yang sama atau serupa, ramalan kami tentang rancangan di Netflix yang mungkin anda suka dan sebagainya.

Berikut ialah perihalan cara sistem ini berfungsi melalui masa dan cara maklumat ini mempengaruhi perkara yang kami sediakan kepada anda.

“Memulakan” sistem cadangan

Apabila anda mencipta akaun Netflix anda atau menambahkan profil baharu dalam akaun anda, kami meminta anda untuk memilih beberapa tajuk yang anda suka. Kami menggunakan tajuk ini untuk “memulakan” cadangan anda. Pemilihan beberapa tajuk yang anda suka adalah pilihan. Jika anda memilih untuk mengabaikan langkah ini, maka kami akan memulakan pengalaman anda dengan set tajuk yang pelbagai dan popular untuk anda bermula.

Sebaik sahaja anda mula menonton tajuk pada perkhidmatan ini, tajuk tersebut akan “menggantikan” sebarang pilihan awal yang anda berikan kepada kami. Apabila anda terus menikmati Netflix melalui masa, tajuk yang anda tonton baru-baru ini akan mengatasi tajuk yang anda tonton sebelum ini untuk memacu sistem cadangan kami.

Baris, kedudukan dan gambaran tajuk

Apabila anda melihat halaman utama Netflix anda, sistem kami telah memberikan kedudukan dan menempatkan tajuk dengan cara yang direka untuk menggambarkan susunan tajuk yang boleh anda nikmati sebaik mungkin.

Pada setiap halaman, terdapat berbilang lapisan pemeribadian. Sebagai contoh, dalam baris, kami mungkin memeribadikan perkara yang berikut:

  • pilihan baris (seperti Teruskan Menonton)

  • tajuk yang dipaparkan dalam baris dan

  • susunan tajuk tersebut.

Tajuk yang paling dicadangkan akan dipaparkan di bahagian atas. Tajuk yang paling dicadangkan bermula dari sebelah kiri setiap baris dan ke kanan -- melainkan anda memilih bahasa Arab atau Ibrani sebagai bahasa anda dalam sistem kami, dalam keadaan ini tajuk anda akan bermula dari sebelah kanan ke kiri.

Cara kami meningkatkan sistem cadangan kami

Kami menerima maklum balas daripada setiap lawatan ke perkhidmatan Netflix (sebagai contoh, tajuk yang anda mula tonton, sama ada anda menonton keseluruhan tajuk dan rating yang anda berikan untuk tajuk tersebut seperti suka) dan kami mengemas kini algoritma kami secara berterusan dengan isyarat tersebut untuk menambah baik ketepatan ramalan algoritma tentang rancangan yang paling mungkin anda tonton. Data, algoritma dan sistem pengiraan kami terus melengkapi antara satu sama lain untuk menghasilkan cadangan baharu supaya pengalaman Netflix anda sentiasa relevan dan bernilai.

Lihat Halaman bantuan Privasi dan Keselamatan untuk maklumat tentang lebih banyak topik.

Artikel Berkaitan