Cara menyesuaikan hiasan latar anda

Peribadikan peranti Android anda dan ceriakan skrin kunci anda dengan petua yang menyeronokkan ini. Temukan kaedah untuk menukar hiasan latar mengikut cita rasa anda atau dapatkan bantuan AI.

Buat hiasan latar anda sendiri

Pilih daripada hiasan latar sedia guna atau tambahkan sentuhan peribadi anda pada skrin kunci dengan menggunakan foto anda sebagai latar belakang skrin.

Untuk berbuat demikian pada peranti Samsung, akses Tetapan, ketik Hiasan Latar dan Gaya > Tukar hiasan latar, kemudian pilih foto daripada Galeri anda. Pada peranti Pixel, tekan dan tahan mana-mana bahagian pada skrin utama anda sehingga menu dipaparkan, kemudian ketik Hiasan latar & gaya > Lagi hiasan latar > Foto saya.
Petua
Jika anda menggunakan peranti Pixel, semak Bengkel Emoji dalam tetapan Hiasan latar anda untuk membuat corak yang menyeronokkan dengan menggunakan emoji kegemaran anda. Ketik “Beri saya inspirasi” untuk menjana reka bentuk rawak atau buat reka bentuk anda sendiri – daripada mozek muka monyet kepada prisma emoji najis (terpulang kepada anda).

Pastikan hiasan latar sentiasa dibaharui

Bosan dengan hiasan latar anda? Ubah suasana dengan menetapkan hiasan latar supaya berubah-ubah secara automatik. Pada peranti Samsung, ketik Tukar hiasan latar > Perkhidmatan hiasan latar > Skrin kunci Dinamik. Kemudian pilih maksimum lima kategori imej untuk dipaparkan secara rawak setiap kali anda menghidupkan skrin telefon anda. Anda pengguna Pixel? Pilih set hiasan latar untuk ditukar-tukar setiap hari dengan mengetik anak panah membulat pada bahagian atas sebelah kanan tema yang berkenaan.

Anda juga boleh menukarkan foto anda menjadi latar belakang 3D yang dinamik dengan ciri Latar sinematik Pixel: Buka tetapan Hiasan latar & gaya anda dan ketik “Lagi hiasan latar”, kemudian “Foto saya”. Seterusnya, pilih imej untuk dipratonton, ketik ikon bintang pada penjuru atas sebelah kanan dan togol “Buat Latar sinematik” kepada hidup.
Pilihan Skrin kunci dinamik

Bebaskan daya imaginasi anda

Jadi kreatif dengan hiasan latar yang dijana AI tentang apa-apa sahaja seperti istana yang diperbuat daripada bunga atau pemandangan pantai yang surealistik. Pada peranti Samsung, temukan ciri ini dalam Tetapan, Hiasan Latar dan Gaya > Tukar hiasan latar > Kreatif > Generatif. Jika anda menggunakan Pixel 8 Plus atau versi yang lebih baharu, ciri ini tersedia pada masa ini dalam bahagian Lagi hiasan latar dalam tetapan Hiasan latar & gaya peranti anda.

Pada peranti Samsung dan Pixel, mulakan dengan memilih tema, kemudian ketik “Beri saya inspirasi” atau ketik perkataan yang diserlahkan untuk mengedit gesaan tema. Kemudian tekan “Jana” (pada peranti Samsung) atau “Buat hiasan latar” (pada peranti Pixel) untuk melihat imej baharu yang dihasilkan dan leret lalu untuk melihat lebih banyak variasi. Untuk menjadikan imej sebagai skrin utama atau skrin kunci anda, ketik “Tetapkan” atau “Tetapkan Hiasan Latar” pada peranti Samsung atau pilih tanda semak pada peranti Pixel.
Hiasan latar generatif

Sesuaikan muka jam anda

Mahu menjadikan muka jam anda lebih menarik? Pada peranti Samsung, akses Tetapan > Hiasan Latar dan Gaya untuk melihat skrin kunci semasa anda, yang boleh anda ketik untuk diedit. Kemudian, ketik jam untuk melihat pilihan muka jam serta warna yang berbeza dan pilih muka jam yang mahu anda paparkan.

Jika anda menggunakan peranti Pixel, akses Tetapan, kemudian ketik “Hiasan latar & gaya” (pastikan anda berada pada tab Skrin kunci). Kemudian anda boleh meleret antara pilihan muka jam yang berbeza atau mengetik “Warna & saiz jam” untuk menyesuaikan muka jam anda dengan lebih lanjut.